Pasar Besar Siti Khadijah
Sejarah
Pasar Besar Siti Khadijah ini terletak dalam kawasan Buluh Kubu, pusat bandar Kota Bharu. Pasar ini telah dibina oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pasar ini mula dibuka pada tahun 1985 dan disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan. Pada mulanya pasar ini dikenali dengan nama Pasar Pusat Buluh Kubu dan kemudiannya pada tahun 1997 ditukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.
Keistimewaan Pasar Besar Siti Khadijah
Pasar ini merupakan bangunan tiga tingkat yang bersegi lapan iaitu berbentuk heksagon. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya.
Tingkat satu pula diperuntukan kepada makanan kering seperti serunding,
iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat ayam
percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan
somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri
Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah
tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi kuih lain yang juga
dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.
Setiap pagi ia
merupakan nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu.
Yang paling menarik ialah sebahagian besar dari peniaga di pasar ini
terdiri dari kaum wanita kelantan sesuai dengan namanya. Pasar Besar
Siti Khadijah, nama asalnya Pasar Buluh Kubu.
 |
Majoriti peniaganya adalah kaum wanita |
Nama Siti Khadijah diambil bersempena nama isteri Nabi Muhammad SAW yang
juga merupakan seorang peniaga wanita yang berjaya. Gabungan
warna-warni, aroma dan suasana hingar-bingar mengambarkan kepelbagaian
barangan yang diniagakan. Berbagai jenis barangan ada dijual diantaranya
makanan, sayur-sayuran, ikan, ayam, pakaian, rempah-ratus, barangan
kraftangan tembaga dan perak dan banyak lagi.
Waktu Beroperasi
Pasar ini
beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 petang. Semua peniaga akan
menghentikan segala urusan jual beli setelah masuk waktu sembahyang
selama 15 minit. Ini bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga
menunaikan solat.
Bazar Buluh Kubu
Pasar Buluh Kubu terletak bersebelahan dengan Pasar
Besar Siti Khadijah. Bazar ini dibina pada tahun 1980 oleh PKINK. Ia mempunyai 4 aras dan satu aras bawah khusus untuk
meletak kenderaan. Bazar ini juga dikenali sebagai Pusat Batik Kelantan. Bazar ini terkenal sebagai pusat jualan batik dengan
kepelbagaian corak dan berkualiti tinggi serta penjualan songket dan barangan
kraftangan.
Konsep bazar ini ialah pasar terbuka di mana pengunjung dapat membeli barangan dengan harga yang berpatutan. Manakala, medan selera pula terletak di tingkat paling atas dengan pelbagai pilihan makanan.
Bazar Tok Guru
Bazar Tok Guru adalah tempat membeli-belah terbaru di Kelantan yang mula
beroperasi pada pertengahan tahun 2011. Kewujudan bazar ini adalah
menggantikan pasar MPKB dan Arked UDA yang dirobohkan kerana sudah tidak sesuai memandangkan ia terletak di dalam kawasan pembangunan dan juga didapati tidak sesuai atas faktor-faktor keselamatan. Sebahagian besar
peniaga di pasar MPKB dan pasar Arked Uda telah berpindah ke Bazar Tok Guru ini yang terletak berhampiran Padang Perdana dan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.
Ia dibina dengan konsep bercirikan Islam. Rekabentuk
bangunan seperti kubah dan gerbang masuk diambil dari rekabentuk masjid
di Mekah dan Madinah.
Pelbagai kemudahan yang disediakan di Bazar Tok Guru ini. Antaranya adalah:
- Tingkat Bawah – Lot-lot perniagaan.
- Tingkat 1 & 2 – Lot-lot Bazar berjumlah lebih 400 unit.
- Kemudahan tempat letak kereta di tingkat semi basemen.
- Empat (4) gerbang masuk utama.
- Tempat letak bas pelancong.
- Perhentian pengangkutan awam seperti bas, teksi dan beca.
- Kaunter Penerangan Pelancong.
- Kemudahan bank dan mesin ATM.
Apa Yang Dijual?
Pelbagai jenis pakaian, tudung dan kain boleh didapati di sini.
Antaranya ialah seperti tudung bawal, baju lelaki dan wanita, kain ela,
kain batik, kain sarung, kain sembahyang, kain pelikat dan pelbagai lagi
jenis kain dan pakaian. Pendek kata, semua ada. Malah sesetengah dari
penduduk tempatan mengatakan Bazar Tok Guru adalah syurga membeli-belah
terbaru di Kelantan dengan tawaran harga yang murah.
 |
Terdapat banyak pilihan pakaian di sini |
 |
Aneka pilihan kain pelikat dan kain sembahyang |
 |
Syurga tudung bawal asli dan pelbagai jenis tudung ada di sini |
Tip Shopping di Bazar Tok Guru
- Pada waktu cuti sekolah, sangat sesuai berkunjung bermula jam 9 pagi
hingga 12 tengahari. Lebih banyak masa boleh diperuntukkan untuk survey harga dan memilih barangan kerana terdapat banyak pilihan di sini.
- Terdapat perbezaan harga antara kedai, oleh itu survey terlebih dahulu sebelum membelinya.
- Jika berpuas hati dengan penjual dan harganya, minta sahaja kad
perniagaan mereka atau dapatkan nombor kedai supaya mudah untuk anda
kembali membeli di kedai tersebut di kemudian hari.
- Tudung bawal asli boleh dibeli dengan harga borong jika dibeli dalam
kuantiti yang banyak. Jadi sedikit sebanyak anda boleh menjana
keuntungan jika dijual kepada rakan pejabat atau kenalan dengan harga
pasaran terutamanya kepada orang luar Kelantan.