Monday, 17 December 2012

TEMPAT MEMBELI-BELAH PART 1

Pasar Besar Siti Khadijah

Sejarah 
Pasar Besar Siti Khadijah ini terletak dalam kawasan Buluh Kubu, pusat bandar Kota Bharu. Pasar ini telah dibina oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pasar ini mula dibuka pada tahun 1985 dan disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan. Pada mulanya pasar ini dikenali dengan nama Pasar Pusat Buluh Kubu dan kemudiannya pada tahun 1997 ditukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.


Keistimewaan Pasar Besar Siti Khadijah
Pasar ini merupakan bangunan tiga tingkat yang bersegi lapan iaitu berbentuk heksagon. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya.

Tingkat satu pula diperuntukan kepada makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan. 

Setiap pagi ia merupakan nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu. Yang paling menarik ialah sebahagian besar dari peniaga di pasar ini terdiri dari kaum wanita kelantan sesuai dengan namanya. Pasar Besar Siti Khadijah, nama asalnya Pasar Buluh Kubu. 

Majoriti peniaganya adalah kaum wanita
Nama Siti Khadijah diambil bersempena nama isteri Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang peniaga wanita yang berjaya. Gabungan warna-warni, aroma dan suasana hingar-bingar mengambarkan kepelbagaian barangan yang diniagakan. Berbagai jenis barangan ada dijual diantaranya makanan, sayur-sayuran, ikan, ayam, pakaian, rempah-ratus, barangan kraftangan tembaga dan perak dan banyak lagi.

Waktu Beroperasi
Pasar ini beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 petang. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jual beli setelah masuk waktu sembahyang selama 15 minit. Ini bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat.


Bazar Buluh Kubu


Pasar Buluh Kubu terletak bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah. Bazar ini dibina pada tahun 1980 oleh PKINK. Ia mempunyai 4 aras dan satu aras bawah khusus untuk meletak kenderaan. Bazar ini juga dikenali sebagai Pusat Batik Kelantan. Bazar ini terkenal sebagai pusat jualan batik dengan kepelbagaian corak dan berkualiti tinggi serta penjualan songket dan barangan kraftangan.

Konsep bazar ini ialah pasar terbuka di mana pengunjung dapat membeli barangan dengan harga yang berpatutan. Manakala, medan selera pula terletak di tingkat paling atas dengan pelbagai pilihan makanan. 





Bazar Tok Guru 


Bazar Tok Guru adalah tempat membeli-belah terbaru di Kelantan yang mula beroperasi pada pertengahan tahun 2011. Kewujudan bazar ini adalah menggantikan pasar MPKB dan Arked UDA yang dirobohkan kerana sudah tidak sesuai memandangkan ia terletak di dalam kawasan pembangunan dan juga didapati tidak sesuai atas faktor-faktor keselamatan. Sebahagian besar peniaga di pasar MPKB dan pasar Arked Uda telah  berpindah ke Bazar Tok Guru ini yang terletak berhampiran Padang Perdana dan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.

Ia dibina dengan konsep bercirikan Islam. Rekabentuk bangunan seperti kubah dan gerbang masuk diambil dari rekabentuk masjid di Mekah dan Madinah.

Pelbagai kemudahan yang disediakan di Bazar Tok Guru ini. Antaranya adalah:
  • Tingkat Bawah – Lot-lot perniagaan.
  • Tingkat 1 & 2 – Lot-lot Bazar berjumlah lebih 400 unit.
  • Kemudahan tempat letak kereta di tingkat semi basemen.
  • Empat (4) gerbang masuk utama.
  • Tempat letak bas pelancong.
  • Perhentian pengangkutan awam seperti bas, teksi dan beca.
  • Kaunter Penerangan Pelancong.
  • Kemudahan bank dan mesin ATM.

Apa Yang Dijual?
Pelbagai jenis pakaian, tudung dan kain boleh didapati di sini. Antaranya ialah seperti tudung bawal, baju lelaki dan wanita, kain ela, kain batik, kain sarung, kain sembahyang, kain pelikat dan pelbagai lagi jenis kain dan pakaian. Pendek kata, semua ada. Malah sesetengah dari penduduk tempatan mengatakan Bazar Tok Guru adalah syurga membeli-belah terbaru di Kelantan dengan tawaran harga yang murah.

Terdapat banyak pilihan pakaian di sini
Aneka pilihan kain pelikat dan kain sembahyang
Syurga tudung bawal asli dan pelbagai jenis tudung ada di sini
  
Tip Shopping di Bazar Tok Guru
  • Pada waktu cuti sekolah, sangat sesuai berkunjung bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Lebih banyak masa boleh diperuntukkan untuk survey harga dan memilih barangan kerana terdapat banyak pilihan di sini.
  • Terdapat perbezaan harga antara kedai, oleh itu survey terlebih dahulu sebelum membelinya.
  • Jika berpuas hati dengan penjual dan harganya, minta sahaja kad perniagaan mereka atau dapatkan nombor kedai supaya mudah untuk anda kembali membeli di kedai tersebut di kemudian hari.
  • Tudung bawal asli boleh dibeli dengan harga borong jika dibeli dalam kuantiti yang banyak. Jadi sedikit sebanyak anda boleh menjana keuntungan jika dijual kepada rakan pejabat atau kenalan dengan harga pasaran terutamanya kepada orang luar Kelantan.

No comments:

Post a Comment