Tuesday, 4 December 2012

BERSANTAI


Jeram Pasu


Pintu Masuk ke Jeram Pasu

Kedudukan Lokasi
Jeram Pasu yang terletak di Kampung Padang Pak Amat dalam jajahan Pasir Puteh merupakan pusat rekreasi hutan lipur dan air terjun paling awal dibuka di daerah berkenaan yang jaraknya kira-kira 35 km di Selatan Kota Bharu serta 16 km dari bandar Pasir Puteh.

Kemudahan Awam
Jeram Pasu adalah kawasan air terjun pertama di Kelantan yang menyediakan tempat berteduh serta pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pengunjung seperti kolam mandi untuk kanak-kanak dan dewasa, surau, bilik persalinan, wakaf rehat, gerai makanan, tandas, trek pejalan kaki, tapak perkhemahan untuk bermalam kepada pengunjung serta tempat parkir kenderaan yang agak luas turut disediakan di Jeram Pasu.


Menarik Tentang Jeram Pasu 
Sesuatu yang dianggap menarik tentang Jeram Pasu ialah kawasan ini kaya dengan landsakp hutannya malahan tempat ini turut menampilkan suasana flora dan faunanya yang menghijau dan mempesonakan. Di samping aliran alirnya yang agak perlahan dan sejuk sememangnya amat sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Selain itu, sungai yang mengalir ke arah air terjun ini yang dikenali sebagai "caruh air" turut dihuni pelbagai spesis anak-anak ikan yang turut menambahkan lagi seri panorama alamnya yang menyamankan dan menyegarkan, yang menjadi sebab Jeram Pasu masih dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada  penduduk setempat,  penduduk-penduduk dari daerah lain di Kelantan dan luar Kelantan setiap kali tiba musim perayaan, cuti persekolahan serta cuti hujung minggu.

Sistem Pengaliran Air Terjun Yang Diubahsuai

Pada hakikatnya, suasana di dalam hutan di Jeram Pasu ini memang nyaman dan menyegarkan badan apatah lagi apabila tiba di kawasan aliran air selepas mendaki ke tingkat atas jeram tersebut, bunyi desiran angin dan kocakan air yang mengalir secara perlahan melalui batu-batuan cukup menghiburkan sebagai pengubat halwa telinga. Menariknya di kawasan caruh air tersebut pengunjung akan dapat melihat pasirnya yang putih disilau mentari yang mengintai dari celah-celah daun hutan menambahkan lagi kecantikan dan seni landskap yang ternyata memukau pandangan.
  
Air Terjun Jeram Pasu Yang Asli


Jeram Linang


Pintu Gerbang ke Jeram Linang

Kedudukan Lokasi
Jeram Linang merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Kelantan. Jeram Linang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, iaitu dalam jajahan Machang. Jaringan jalan raya yang baik telah dibina oleh pihak kerajaan bagi memudahkan para pengunjung untuk berkunjung ke Jeram Linang. Jeram Linang ini terletak kira-kira 65 km dari bandar Kota Bharu, 15 km dari bandar Machang (melalui jalan Machang-Wakaf Linchong) dan 10 km dari bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh-Machang). Perjalanan ke Jeram Linang dari Kota Bharu dengan menaiki kereta adalah sekitar 1-2 jam sahaja.  Ia merupakan destinasi yang ideal untuk berkelah, berehat, dan berkhemah serta sesuai untuk aktiviti merentas hutan.

Tempat Mandi-Manda Yang Dibahagikan Mengikut Kedalaman


Kemudahan Untuk Pengunjung
Kawasan untuk mandi-manda di Jeram Linang telah dibahagi-bahagikan kepada beberapa bahagian dengan kedalaman yang berbeza. Oleh itu, tidak kira sama ada kanak-kanak atau orang dewasa akan sama-sama dapat berenang dan menikmati kesejukan air yang berasal dari puncak Jeram Linang ini. Terdapat juga gelongsong air untuk kanak-kanak bermain. Kemudahan sewa pelampung dan deretan kedai makan di sekitar air terjun juga membantu memenuhi keperluan pengunjung.  

Air terjun Jeram Linang adalah dari jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu, dan Jerteh, Terengganu. Jika pengunjung ingin berjalan-jalan di sekitar kawasan hutan, terdapat tangga bukit yang akan membawa pengunjung menjelajah ke dalam Hutan Lipur Jeram Linang.  

Air Terjun di Jeram Linang

Lata Rek



Kedudukan Lokasi
Lata Rek terletak kira-kira 27 km dari bandar Kuala Krai dan perjalanan dengan memandu kereta mengambil masa kira-kira 30 minit melalui Jalan Persekutuan Kuala Krai-Gua Musang sebelum bertemu simpang tiga berdekatan dengan Kampung Laloh. Dari simpang tersebut, ke kiri adalah simpang masuk ke Lata Rek iaitu lebih kurang 3 km ke hadapan. 

Lata Rek adalah kawasan air terjun yang cukup terkenal di negeri Kelantan. Air terjun ini diwartakan sebagai tempat perkelahan yang amat sesuai untuk seisi keluarga bersuka-ria dan mencari ketenangan. Ia merupakan air terjun dengan ketinggiannya tidak lebih dari 20 meter dan 100 meter panjang. Kebiasaannya, Lata Rek paling ramai dikunjungi pada hari Jumaat sempena cuti hujung minggu di Kelantan.  



Perkhidmatan Awam
Tiada perkhidmatan bas awam yang disediakan untuk ke Lata Rek namun perkhidmatan teksi mudah diperolehi di bandar Kuala Krai dengan tambang RM15 sehala. 

Tarikan dan Aktiviti
Merupakan salah satu tarikan rekreasi yang popular di Kuala Krai.  Lata Rek menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk melakukan aktiviti-aktiviti rekreasi seperti berkelah, mandi-manda, berehat dan sebagainya  Lata Rek digemari oleh pengunjung kerana mempunyai kedalaman air yang cetek dan bersih, sesuai untuk kanak-kanak mandi-manda. Kemudahan-kemudahan asas juga tersedia untuk keselesaan para pengunjung.

                         

           
Kawasan Yang Cetek Sesuai Untuk Kanak-kanak

No comments:

Post a Comment